25 Hari Lagi Sebelum 8 Jam Suzuka!

Hanya 25 hari lagi sebelum menjelangnya perlumbaan 8 Jam Suzuka, dan pasukan-pasukan yang turut serta giat menjalankan persediaan akhir dan penunggang mereka. Senarai kemasukan sementara mengandungi 67 jentera di garisan perlumbaan ke-42 acara ini pada 28 Julai di Jepun.

Senarai Sementara Coca-Cola 8 Jam Suzuka 2019

Kawasaki ZX-10 RR dengan corak ujian

Beberapa perlumbaan dan sesi ujian yang telah dijalankan memberi petunjuk bagaimana pasukan-pasukan akan menghadapi 8 Jam Suzuka. Dengan hanya 1 kemenangan di Suzuka pada tahun 1993, Kawasaki kembali dengan pasukan rasmi KRT di bawah nombor 10, dengan nombor 11 di bawah penyertaan Team SRC Kawasaki France. Kawasaki Racing Team tampak fokus dan kompetitif; ketiga-tiga penunggang mereka iaitu Jonathan Rea, Leon Haslam dan Toprak Razgatlioglu memonopoli podium di dalam perlumbaan kedua acara FIM Superbike di Misano.

Honda CBR1000RRW

Honda memegang rekod untuk kemenangan paling banyak di Suzuka dengan 27 kemenangan. Honda HRC kembali pada tahun lalu untuk memecahkan dominasi Yamaha dan lebih tekad untuk kembali ke bahagian atas podium Suzuka. Red Bull Honda menguasai sesi ujian pengeluar terkini di Suzuka pada akhir bulan Jun. Takumi Takahashi mencatat masa 2:06.117, tidak jauh dari 2:05.168 iaitu rekod pusingan Jonathan Rea dalam sesi kelayakan 2018. Pelumba Jepun itu akan berganding dengan Ryuichi Kiyonari dan Stefan Bradl di pelana Honda nombor 33. Satu lagi pasukan mantap Honda, Musashi RT Harc-Pro Honda, telah mengesahkan kemasukan pelumba Switzerland, Dominique Aegerter sebagai rakan sepasukan Ryo Mizuno dan pelumba BSB dari Sepanyol, Xavi Fores.

Ulangtahun penyertaan pertama Yamaha di 8 Jam Suzuka

Berita buruk untuk Yamaha Factory Racing Team yang telah mengumumkan akan membariskan pelumba yang memenangi acara 2017 dan 2018 iaitu Katsuyuki Nakasuga, Michael van der Mark dan Alex Lowes. van der Mark mengalami kecederaan pergelangan tangan di perlumbaan World Superbike di Misano dua minggu lalu dan belum disahkan sama ada dia akan berada di pelana Yamaha yang bercorak Tech 21 Shiseido, jentera pertama Yamaha yang bersaing di Suzuka pada tahun 1985. Yamaha telah mencatat lapan kemenangan di Suzuka, termasuk empat kemenangan berturut-turut sejak tahun 2015.

Warna yang mungkin digunakan Yoshimura Suzuki Motul racing

Suzuki telah memenangi 8 Jam Suzuka sebanyak 5 kali, dengan yang terakhir pada tahun 2009. Yoshimura Suzuki Motul Racing telah diberi mandat untuk menaikkan kembali jentera Hamamatsu itu dengan Sylvain Guintoli, Yukio Kagayama dan Kazuki Watanabe.

Ujian rasmi di Suzuka dari 9 hingga 11 Julai ini akan memberikan lebih banyak petunjuk siapakah yang lebih ulung di kalangan pengeluar Jepun.

Kredit gambar: FIM EWC, Honda Racing corporation, Yamaha Factory Racing, MFJ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.