TUNGGANG UJI: Kawasaki Z250 2019

Pasaran motosikal 250cc di Malaysia kian hari kian sengit dan jelas Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) jelas tidak mahu tercicir dengan pelancaran model Z250 terbaru. Kami di iPantas berpeluang menunggang uji motosikal ini untuk tatapan para pembaca semua.

Model Z250 yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2013 kini bukan sahaja mempunyai reka bentuk berlainan, malah turut memiliki enjin dan kerangka baharu yang dikongsi dengan model Ninja 250. Enjin Z250 2019 yang lebih kompak kini menjana 37 kuasa kuda, berbanding 32 kuasa kuda dari model sebelum ini. Kerangka trellis pula dikatakan menyerupai kerangka model Ninja H2, membantu mengurangkan berat jentera kepada 165kg berbanding 168kg.

Berbanding model Z250 lama, Z250 2019 kini dilengkapi dengan lebih aksesori untuk tampak lebih premium. Klac jenis bantuan dan gelincir (Assist & Slipper Clutch) membantu penunggang terutamanya yang belum berpengalaman manakala sistem brek nyah-kunci (ABS) menambahkan aspek keselamatan ketika kegunaan harian.

Sekali imbas, rupa Z250 2019 ini nampak lebih menarik perhatian dari model lama. Lampu LED depan dan belakang menjadikan Z250 lebih “garang” dan futuristik. Kali pertama menunggang, selepas mengamati meter pamer yang sama dengan model Z650, anda dapat rasakan motosikal ini agak “kurus” dan jarak tempat duduk dengan permukaan jalan agak rendah. Walaubagaimanapun, tempat pemijak terletak agak tinggi, tampak seperti posisi penunggang supermoto. Penulis mampu berdiri tegak ketika berada di atas pelana motosikal ini.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, klac bantuan & gelincir memudahkan permulaan perjalanan. Tuil terasa amat ringan dan hanya memerlukan gerakan yang sedikit sahaja ketika menukar gear. Penulis hairan mengapa tidak lebih banyak motosikal mempunyai sistem ini.

Mengendalikan Z250 2019 di dalam kesibukan bandar mudah sekali, dengan bantuan hendal yang lebar dan posisi penunggang yang tegak. Penulis tiada masalah menunggang motosikal ini di celah kenderaan ketika kesesakan jalanraya, serta amat berpuashati dengan prestasi brek yang terpaksa digunakan secara cemas beberapa kali.

Enjin Z250 2019 ini dirasakan menghasilkan lebih banyak kuasa di bahagian tengah julat. Misalnya, jika anda sedang menyusur pada kelajuan 100km/j di dalam gear 6, anda hanya memulas lebih pendikit dan tidak perlu menukar gear lebih rendah untuk memotong kenderaan.

Penulis juga berpeluang membawa Z250 2019 ini ke luar bandar, di mana dirasakan keupayaan sebenar motosikal ini boleh dimanfaatkan. Nyata sekali penulis tidak kecewa. Walaupun sistem gantungan Z250 2019 ini agak ringkas, namun fork depan berdiameter 41mm (berbanding 37mm) dan sistem monoshock Uni-Trak mampu menangani ketidakmulusan permukaan jalan, membawa kepada lebih keyakinan ketika mengambil selekoh tajam atau panjang.

Sebagus mana pun motosikal ini, terdapat juga beberapa kekurangan. Warna meter pamer agak kabur terutamanya ketika di bawah sinaran matahari manakala kusyen tempat duduk agak nipis di bahagian pinggul, menjadikan tunggangan jarak jauh kurang selesa.

Jadi patutkah anda memilih Kawasaki Z250 2019 ini? Jika anda mencari motosikal untuk digunakan sebagai pengangkutan harian atau baru berjinak dengan motosikal berkapasiti lebih besar dari kapcai, jawapannya ya. Pada pendapat penulis, motosikal ini antara yang terbaik dalam kategori 250cc di Malaysia setakat ini. Dengan harga asas RM21,998 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans) ia memang berbaloi berdasarkan prestasi dan kelengkapan yang dipasang pada motosikal ini. Jika anda lebih menggemari gaya supersport, anda juga boleh meninjau Kawasaki Ninja 250 yang dijual pada harga RM23,071.

Nota penyunting: Seperti mana yang diulang berkali-kali, sistem nyah-kunci (anti-lock brakes, ABS) yang telah dipasang di model Z250 ini adalah salah satu sebabnya kami beri ‘skala penilaian’ (secara tidak rasmi-lah) yang amat tinggi bagi model Z250 2019 ini. Kemungkinan besar pemiliknya akan menggunakan motosikal ini sebagai ‘kuda harian’, kegunaan harian bermaksud seharusnya ada sistem keselamatan seperti ABS. Kepada penunggang yang pernah menggunakan motosikal yang dipasang ABS, sudah tentunya kalian bersetuju pada pandangan kami ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.