Honda Siap Sedia untuk WSBK 2020: CBR1000RR Baru, Bautista dan Takahashi, Sokongan Penuh HRC

Usai pusingan WorldSBK di Misano, San Marino pada 8 September lepas, terbit pula berita bahawa Alvaro Bautista tidak akan kembali ke MotoGP dengan pasukan KTM untuk tahun 2020, tetapi akan kekal di WSBK namun bersama Honda dan jentera CBR1000RR baharu.

Pasukan KTM MotoGP memerlukan pengganti bagi Johann Zarco yang mengumumkan akan menamatkan kontraknya setahun lebih awal, dan Bautista yang mempunyai pengalaman menunggang untuk empat pengeluar jentera MotoGP berlainan iaitu Suzuki, Honda, Aprilia dan Ducati pada awalnya memang nampak cocok dengan jenis penunggang yang diperlukan KTM. Walaubagaimanapun, tawaran Honda yang lebih lumayan serta peluang menunggang jentera CBR1000RR yang lebih berdaya saing nampaknya berjaya mengubah hati Bautista untuk kekal di WSBK.

Honda dikatakan akan memandang lebih serius penglibatannya di dalam WSBK. Kemenangan terakhir oleh jenteranya pada tahun 2007 serta kemerosotan prestasi CBR1000RR sejak beberapa tahun lepas berbanding pesaing-pesaingnya dikatakan memaksa Honda untuk merombak sekali lagi pasukan WSBK serta memindahkan pasukan itu ke Sepanyol, iaitu berjiran dengan pasukan Repsol Honda MotoGP. Urusan kejuruteraan dan logistik pasukan WSBK baru ini akan menerima sokongan penuh HRC, berbanding pasukan sekarang yang digabungkan antara HRC, Moriwaki dan Althea Racing.

Dikhabarkan Honda CBR1000RR serba baru yang akan didedahkan kepada umum di Tokyo Motor Show, Oktober ini mempunyai “enjin 4-silinder sebaris paling berkuasa” di kalangan superbike di pasaran sekarang manakala pemfailan paten menunjukkan Honda telah mereka satu sistem aerodinamik aktif yang berkemungkinan besar akan dipasang di CBR1000RR SP2. Honda juga telah menjalankan pembangunan motosikal itu dengan menggunakan tayar Pirelli untuk memastikan kesesuaian dan prestasi maksimum di dalam perlumbaan WSBK.

Bautista akan digandingkan dengan pelumba Jepun, Takahashi Takumi di dalam pasukan “baru” ini. Ini bermakna tiada tempat untuk pelumba Honda sedia ada iaitu Leon Camier dan Kiyonari Ryuichi. Walaubagaimanapun Kiyonari mempunyai kontrak dengan HRC sendiri, berkemungkinan besar dia akan ditempatkan bersama pasukan satelit moriwaki jika ada.

Perlu diingatkan, segala maklumat yang tertera di atas masih dikira sebagai khabar angin dan tiada lagi sebarang pengesahan daripada pihak Honda ataupun Bautista. Menurut Bautista sendiri, sebarang pengumuman rasmi akan dibuat sebelum pusingan WSBK di Magny-Cours, Perancis untuk mengelakkan “tenggelamnya” berita ini. Sama-sama kita tunggu.

Kredit gambar: Honda Racing Corporation, Aruba Racing

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.