Jake Dixon Sertai Xavi Vierge di Petronas Moto2

Pelumba rookie Moto2 dari Britain, Jake Dixon mengesahkan tempatnya untuk tahun 2020 di pasukan Moto2 Petronas SIC Racing Team.

Dixon yang kini berlumba untuk pasukan Angel Nieto Team dengan menunggang jentera KTM akan menyertai seorang lagi pelumba baru untuk Petronas SRT, Xavi Vierge. Kedua-dua mereka dijangka akan menggunakan jentera Kalex bagi musim 2020.

Ini bermakna pelumba sedia ada, Khairul Idham Pawi akan berpindah dari kategori Moto2 dan berkemungkinan besar kembali ke Moto3 tetapi kekal bersama Petronas SRT. Beliau akan berganding dengan John McPhee yang telah pun menyambung kontrak untuk 2020.

Khairul Idham yang bergelut dengan kecederaan tangan musim ini telah gagal menyertai sebanyak 11 pusingan setakat ini. Dikhuatiri beliau masih belum pulih sepenuhnya dan akan terus digantikan penyertaannya sehingga penghabisan musim.

Berita penyertaan Dixon ini juga bermakna satu lagi pintu telah tertutup buat pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin yang akan meninggalkan gelanggang tersebut musim depan. Tempat di pasukan Moto2 Petronas SRT telah diura-urakan sebagai destinasi Hafizh namun nampaknya mereka gagal mencapai persetujuan. Khabar angin juga menyebut Hafizh akan menggantikan tempat Dixon di pasukan Angel Nieto.

Kredit gambar: Angel Nieto Team/Petronas SRT/KTM Media Library

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.