Pengharaman Motosikal Kapasiti Kecil Kerja Gila!

Baru-baru ini kami dikejutkan oleh seruan seorang “aktivis” keselamatan jalan raya yang mahu kerajaan mengharamkan penggunaan motosikal berkapasiti bawah 250 sentimeter padu (sp) atas pelbagai alasan tidak munasabah. Bukan sahaja seruan itu disiarkan di laman blog terkenal (yang disunting oleh aktivis itu sendiri!), malahan ia mula tersebar di arus media perdana. Aktivis berkenaan juga merupakan salah seorang ahli dalam lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

Antaranya ialah pengguna motosikal bawah 250sp ini adalah mangsa korban jalan raya paling ramai di antara jenis kenderaan lain. Kami paling tidak boleh terima sebab ini kerana ia seperti kematian pengguna motosikal tersebut adalah 100 peratus salah mereka sendiri. Bagaimana pula mereka yang dihimpit atau dilanggar oleh kenderaan lain yang dipandu oleh pengguna yang cuai atau tidak memberi perhatian? Adakah mereka suci daripada kesalahan yang dilakukan?

Satu lagi tanggapan salah aktivis tersebut ialah beza jarak penggunaan motosikal dan skuter elektrik. Apakah beliau fikir motosikal hanya digunakan dalam jarak dekat? Pernahkah beliau terfikir, dengan meningkatnya jumlah kenderaan di jalan raya, kesesakan lalu lintas juga akan meningkat? Mungkin beliau tidak pernah terperangkap di dalam kesesakan atau beliau rasa semua tempat di Lembah Klang mempunyai hubungan pengangkutan awam. Mungkin juga beliau rasa motosikal hanya digunakan semata-mata dalam jarak dekat, sedangkan ada yang bekerja di pusat bandar Kuala Lumpur tetapi terpaksa menetap di pinggir Selangor malahan di Negeri Sembilan atau Perak.

Sehubungan pada itu, perlu dinyatakan skuter elektrik yang beliau canang-canangkan itu juga mempunyai dua aspek negatif yang besar iaitu jarak pergerakan dan juga cara pengecasan tenaga elektrik. Salah satu skuter elektrik termurah di pasaran setakat ini berharga RM4,500 dan hanya mampu bergerak sejauh 60 kilometer, manakala tempoh pengecasan penuh mengambil masa antara 5 hingga 6 jam. Kami pasti tiada masalah bagi mereka yang tinggal dalam lingkungan jarak itu dengan tempat kerja mereka, tetapi bagaimana pula dengan sistem pengecasan? Ada di antara kompleks pejabat di ibu negara yang langsung tidak menyediakan tempat letak motosikal, apakan pula tempat mengecas motosikal elektrik.

Aktivis tersebut juga mengatakan Malaysia perlu mengikut jejak China dan Taiwan yang telah mengharamkan penggunaan motosikal. Kami berpendapat beliau perlu membuat lebih kajian kerana pengharaman tersebut berpunca dari pencemaran udara dan bunyi, di mana China mengharamkan penggunaan motosikal di dalam bandar-bandar tertentu sahaja manakala motosikal masih dibenarkan penggunaannya di kawasan luar bandar. Pengharaman motosikal dan skuter berkuasa petrol di Taiwan pula hanya akan berkuatkuasa pada tahun 2035, dan rakyat mereka masih bebas menggunakan kenderaan dua roda bahkan yang berenjin 2 lejang.

Bagi kami, cadangan pengharaman motosikal di bawah 250sp ini adalah tidak masuk akal serta tidak dikaji sepenuhnya oleh si pencadang. Banyak lagi cara untuk mengurangkan kematian atau kemalangan jalan raya yang boleh diambil oleh pihak berkuasa, bukan dengan langkah spontan seperti cadangan tersebut. Sepatutnya sebagai seorang yang berada di dalam lembaga pengarah MIROS, lebih baik aktivis itu membuat cadangan kewajipan pemasangan sistem ABS di motosikal atau perubahan sistem lesen yang menyerupai sistem di Eropah di mana mereka yang baru memperolehi lesen hanya boleh memiliki motosikal di bawah had kuasa kuda atau kapasiti tertentu. Bukannya dengan menghasilkan langkah hentam keromo sahaja. Kami berharap pihak berkenaan, terutamanya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menolak mentah-mentah cadangan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.