Pusingan Pertama FIM EWC 2019: Suzuki Juara Kali Ke-17

Baru-baru ini berlangsungnya pusingan pertama kejohanan FIM Endurance World Championship (EWC) bagi musim 2019-2020, dan pemenang Bol d’Or yang dilangsungkan untuk kali ke-83 ini tidak asing lagi bagi peminat perlumbaan ketahanan.

Pasukan Suzuki Endurance Racing Team (SERT) yang dianggotai oleh Vincent Philippe, Etienne Masson dan Gregg Black berjaya memenangi perlumbaan yang dilangsungkan di litar Paul Ricard HTTT, Perancis dan bermakna pasukan ini telah memenangi acara ini sebanyak 17 kali. SERT kini mendahului carta kejohanan FIM EWC 2019-2020 di tempat pertama dengan 59 mata.

Walaubagaimanapun, kemenangan SERT tidaklah begitu mudah dan mereka mewarisi tempat pertama selepas pendahulu awal perlumbaan, F.C.C. TSR Honda France mengalami kerosakan enjin dan bersara dari perlumbaan manakala dua lagi pasukan yang berada di belakang Honda itu, YART Yamaha yang ditunggang oleh Loris Baz dan Erwan Nigon dari Webike SRC Kawasaki France, terbabas dan melanggar benteng akibat minyak di atas permukaan litar. Akibat insiden tersebut, kedua-dua jentera yang terlibat hangus dijilat api.

Ketiadaan pasukan-pasukan ini membolehkan pasukan SERT mendahului dan mencipta jarak yang selesa dengan pencabar terdekatnya, Wójcik Racing Team yang menggunakan jentera Yamaha. Sementara itu, tempat ketiga direbut oleh dua pasukan yang menggunakan jentera BMW terkini, BMW Motorrad World Endurance Team dan Team ERC Endurance. Team ERC Endurance berjaya meraih tempat podium terakhir, namun selepas pemeriksaan pasca perlumbaan dibuat, keputusan itu ditarik balik. Mereka didapati tidak mematuhi peraturan kapasiti tangki minyak maka penyertaan mereka dibatalkan. Sehubungan itu tempat ketiga secara rasminya milik pasukan BMW Motorrad World Endurance Team.

Dalam pada itu untuk kejuaraan Superstock, tempat pertama dimenangi oleh pasukan Moto Ain yang berjaya mengenepikan pencabar terdekat, Team 33 Coyote Louit Moto yang bermula di petak pertama namun jatuh ke tempat belakang selpas mengalami kemalangan. Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimiliki oleh pasukan BMRT 3D Maxxess Nevers dan Motors Events.

Perlumbaan Bol d’Or kali ke-83 ini pasti tercatat sebagai satu perlumbaan yang agak luar biasa selepas hujan lebat menyebabkan perlumbaan ditunda dari 6 petang 20 September ke 6 pagi 21 September, dan terkeluarnya tiga pendahulu perlumbaan. Walaubagaimanapun, 62,000 penonton tetap menggagahkan diri dan menghadiri litar walaupun dilanda cuaca tidak menentu. Pusingan berikutnya dalam kalendar FIM Endurance World Championship 2019-2020 ialah perlumbaan di negara kita iaitu acara 8 Jam Sepang pada 14 Disember ini. Ia merupakan satu daripada acara berkembar yang akan diadakan bersama perlumbaan kereta FIA WTCR/Oscaro.

Kredit gambar: FIM EWC Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.