8 JAM SEPANG: Niccolo Canepa Menang Seorang Diri, Yamaha Sepang Racing Ketujuh

Perlumbaan 8 Jam Sepang yang buat julung kalinya diadakan di Litar Antarabangsa Sepang berakhir selepas permulaannya ditangguhkan akibat hujan lebat, dengan Niccolo Canepa meraih kemenangan untuk pasukan YART Yamaha.

Acara ini sepatutnya dimulakan pada pukul 1 petang waktu Malaysia, namun hujan yang turun dan keadaan litar yang merbahaya memaksa penganjur menunda permulaan. Perlumbaan dimulakan di belakang kereta keselamatan pada pukul 3 petang, tetapi pelumba mendapati keadaan litar masih belum sesuai untuk perlumbaan. Perlumbaan ditundakan & selanjutnya dimulakan sekali lagi pada jam 6 petang.

Pasukan Yamaha Sepang Racing yang turut dianggotai oleh pelumba Malaysia, Hafizh Syahrin, bermula di petak pertama hasil usaha Franco Morbidelli di dalam sesi kelayakan semalam, dan Michael van der Mark dipilih sebagai penunggang pertama. van der Mark tidak membuang masa selepas kereta keselamatan masuk ke pit dan mencipta ruang di belakang beliau dan pencabar terdekatnya, Mike di Meglio yang berlumba untuk pasukan F.C.C. TSR Honda France.

Walaubagaimanapun, ianya tidak kekal lama dan di Meglio berjaya merapati van der Mark sekaligus memberikan tekanan. Ia menyebabkan van der Mark melakukan kesilapan ketika keluar dari selekoh terakhir, dan di Meglio telah berlanggar dengan tayar belakang jentera van der Mark. Sehubungan dengan itu, kedua-dua mereka terjatuh. di Meglio berjaya menaiki semula jentera beliau manakala van der Mark terpaksa kembali ke pit dan menyertai semula perlumbaan di tempat ke-44. Yamaha Sepang Racing akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ke-7.

Pasukan F.C.C. TSR Honda France mendahului perlumbaan sehinggalah di Meglio sekali lagi terbabas, memberikan tempat pertama kepada Canepa, yang memenangi perlumbaan ini tanpa membuat sebarang pertukaran penunggang. Perlu dinyatakan bahawa masa perlumbaan telah dipendekkan kepada 3 jam, namun kebolehan Canepa untuk kekal tenang terutamanya selepas perlumbaan ditunda masih disanjung tinggi.

Tempat kedua diperoleh oleh Honda Asia Dream Racing with Showa, yang terdiri daripada seorang lagi pelumba Malaysia iaitu Zaqhwan Zaidi, Andi Farid Izdihar dan Somkiat Chantra, manakala tempat ketiga dimiliki oleh BMW Motorrad World Endurance Team yang dianggotai oleh Illya Mykhalchyk dan Markus Reiterberger. Kevin Foray (penunggang ketiga) pula tercedera pada sesi latihan dan tidak dapat menyertai perlumbaan.

“Saya agak kecewa selepas terjatuh dan jentera pula terbakar semasa sesi pemanas badan pagi ini, jadi saya memulakan perlumbaan dengan sedikit kesakitan,” ujar Zaqhwan selepas perlumbaan. “Mujur kami mempunyai jentera ganti. Walaupun mungkin kami tidak 100 peratus sesuaikan diri dengan jentera itu, kami masih berjaya meraih podium untuk pasukan.”

Dengan berakhirnya pusingan kedua dalam kalendar FIM Endurance World Championship ini, pasukan-pasukan akan berkumpul semula di ibu pejabat masing-masing dan bersiap-sedia untuk pusingan ketiga iatu 24 Heures Motos yang akan diadakan di litar Bugatti, Le Mans, Perancis. Ia akan dilangsungkan pada 18 April tahun hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.