Yamaha MotoGP Umum Viñales dan Quartararo Mulai 2021, Lorenzo Kembali Sebagai Penunggang Uji

Pasukan Yamaha MotoGP mengumumkan beberapa berita yang pasti menggamit perhatian peminat sukan bermotor sejak beberapa hari yang lalu. Pertama, gandingan Maverick Viñales dan Fabio Quartararo mulai musim 2021 dan kedua, kembalinya Jorge Lorenzo sebagai penunggang uji rasmi.

Keputusan Yamaha untuk menawarkan kontrak yang panjang kepada Viñales tidak begitu mengejutkan. Beliau merupakan penunggang terbaik Yamaha sejak menyertai mereka tiga musim yang lalu, dengan mencatat 6 kemenangan, 19 podium dan 9 petak pertama berbanding rakan sepasukan Valentino Rossi (1 kemenangan, 13 podium dan 1 petak pertama). Jelas sekali Yamaha percaya Viñales adalah pilihan tepat untuk mengepalai usaha mereka untuk kembali ke takhta MotoGP.

Manakala dengan memilih Quartararo sebagai rakan sepasukan Viñales adalah satu langkah Yamaha untuk mengelakkan Quartararo pergi ke pasukan lain. Pelumba muda Petronas Yamaha Sepang Racing Team tersebut membuktikan beliau memiliki bakat besar dan berjaya mencabar pelumba-pelumba elit lain seperti Marc Marquez dan Andrea Dovizioso. Walaupun gagal memenangi sebarang perlumbaan, Quartararo tetap berjaya menaiki podium sebanyak 7 kali dan bermula dari petak pertama sebanyak 6 kali sepanjang musim pertama beliau di MotoGP pada tahun 2019.

Ini bermakna Rossi akan meninggalkan pasukan Yamaha MotoGP sekali lagi. Beliau telah menyatakan hasrat untuk mengkaji prestasi sendiri sepanjang musim 2020 sebelum menandatangani sebarang kontrak, namun pihak Yamaha sudah memberi jaminan mereka akan membekalkan jentera dan sokongan penuh sekiranya Rossi mahu terus berlumba di tahun 2021.

Manakala pengumuman hari ini mungkin membuatkan pengurusan pasukan Honda dan Ducati berasa agak marah. Lorenzo akan kembali ke kancah MotoGP sebagai penunggang uji Yamaha selepas mengumumkan persaraan beliau di Valencia tahun lepas. Beliau akan memulakan tugas di ujian rasmi Sepang mulai 2 Februari ini. Sudah tentu Lorenzo membawa sekali rahsia-rahsia jentera RC213V dan Desmosedici bersama beliau. Tambahan lagi, Yamaha sedia menawarkan wildcard kepada Lorenzo sekiranya beliau mahu.

Pada pendapat kami, Yamaha telah membunyikan semboyan pertama dalam ‘perang’ menjatuhkan Honda dan Marquez sebagai pilihan pertama. Ini juga bermakna dua tempat untuk penunggang sudah tiada, sekurang-kurangnya hingga 2023. Kami menunggu dengan penuh minat apakah langkah pasukan-pasukan lain dari segi pilihan penunggang.

Kredit gambar: Yamaha Racing, MotoGP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.