(DIKEMASKINI) Pusingan MotoGP Qatar Dibatalkan, Moto2 & Moto3 Diteruskan, MotoGP Thailand Ditunda

(DIKEMASKINI: Pusingan MotoGP di Buriram, Thailand telah ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.)

Fédération Internationale de Motocyclisme (FIM) telah mengumumkan pembatalan perlumbaan kelas MotoGP yang sepatutnya berlangsung di Litar Antarabangsa Losail, Qatar hujung minggu ini (8 Mac). Walaubagaimanapun, perlumbaan kelas Moto2 dan Moto3 akan dijalankan seperti biasa.

Keputusan ini berikutan tindakan kerajaan Qatar untuk mengehadkan pergerakan masuk pelawat dari negara-negara yang mempunyai kes wabak COVID-19 atau coronavirus, terutamanya Itali. Oleh kerana majoriti daripada penghuni paddock MotoGP berasal dari Itali, nyata sekali FIM dan Dorna tidak mahu mengambil risiko tersebarnya penyakit ini dengan lebih luas.

Namun begitu, hampir semua pelumba dan pasukan dari kelas Moto2 dan Moto3 telah pun berada di Qatar untuk sesi ujian rasmi yang berakhir semalam (1 Mac). Atas sebab itu, perlumbaan Moto2 dan Moto3 akan diteruskan tanpa kehadiran kelas MotoGP.

Dikhuatiri wabak COVID-19 ini juga akan membabitkan pusingan lain di awal musim ini. Pusingan di Austin, Amerika Syarikat juga berkemungkinan besar akan dibatalkan atau ditunda, atas sebab kerajaan Amerika Syarikat telah mengeluarkan amaran perjalanan ke Itali. Tidak mustahil sekiranya wabak COVID-19 di Itali menjadi semakin teruk, Amerika Syarikat akan mengambil langkah yang sama seperti Qatar.

Kredit gambar: MotoGP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.