Jorge Lorenzo Tidak Tolak Kembali ke MotoGP

Jorge Lorenzo, penunggang uji tidak menolak kemungkinan beliau akan kembali ke kancah MotoGP bersama pasukan Petronas Yamaha pada tahun 2021, sekiranya peluang itu wujud.

Dalam sesi temubual bersama stesen televisyen Sky dan diterbitkan oleh Marca, Lorenzo menyatakan beliau masih tetap dengan keputusan untuk bersara namun kini ianya “98 peratus muktamad”.

“Jelas sekali dengan lebih banyak juara di dalam grid MotoGP, kualiti perlumbaan akan meningkat dan semakin ramai penonton akan meningkat. Tetapi anda pun tahu saya telah membuat keputusan pada November (2019) dan keputusan saya 98 peratus muktamad. Walaubagaimanapun, semuanya boleh berubah dan manusia mampu mengubah fikiran bila-bila masa. Apa pun mungkin akan terjadi, tetapi buat masa ini saya tetap dengan pilihan saya,”

Juara MotoGP tiga kali itu yang kini menjadi penunggang uji Yamaha mengakui sekiranya beliau berubah fikiran, pasukan yang akan beliau sertai ialah Petronas Yamaha bersama bekas rakan sepasukan dan seteru utama, Valentino Rossi. “Ianya satu situasi yang menarik. Valentino pasti akan diberi ruang sekiranya dia mahu. Itu jelas kerana mereka (Petronas Yamaha) mempunyai sokongan rasmi dari Yamaha. Buat masa ini, saya telah pun membuat keputusan, tapi jika ada sebarang kemungkinan yang tipis, sudah tentu saya akan kembali bersama Yamaha, dan pasti sekali Petronas Yamaha akan menjadi salah satu pilihan saya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.